Pengenalan


Prolog


     Kolej Kediaman Perwira (KK Perwira) merupakan salah sebuah kolej kediaman di Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) dengan kapasiti 2,044 penghuni. Kolej ini merupakan antara kolej kediaman di luar kampus yang terletak 2.2km dari kampus utama UTHM dan berada di kawasan Parit Sempadan Laut. Lokasinya yang ideal dan strategik serta dikelilingi oleh panorama yang indah menjadikan kolej ini sesuai untuk dihuni, belajar dan bersosial.

     Kolej ini memulakan operasi secara rasmi dengan nama Desasiwa Pangsapuri pada tahun 2003 dan kemudiannya diberi nama sebagai Kolej Kediaman Perwira pada Jun 2006. KK Perwira merupakan Kolej Kediaman rasmi bagi menempatkan Pasukan Latihan Pegawai Simpanan (PALAPES) seawal sesi 2003/2004.

     Menyedari kepentingan peranan KK Perwira sebagai pemangkin kecemerlangan mahasiswa, Pelan Transformasi Perwira telah diwujudkan pada tahun 2011 dengan berpaksikan kepada tiga (3) teras utama iaitu kecemerlangan akademik, keunggulan personaliti dan kelestarian persekitaran. Pada masa yang sama, konsep “Perwira di Hatiku…sebuah Taman Ilmu” juga dicetuskan bagi mewujudkan budaya sayangkan KK Perwira sebagai rumah kedua yang juga berperanan sebagai sebuah pusat perkembangan ilmu.

     Bagi memacu kecemerlangan, Pelan Transformasi Mahasiswa Holistik dilancarkan pada tahun 2013 serta disokong menerusi beberapa inisiatif merangkumi konsep rumah sukan, polisi 1Penghuni 1Sukan, 1Penghuni Muslim 1Al Quran dan 1Penghuni 1Kemahiran. Pelan ini menjadi agenda utama dalam usaha melahirkan penghuni yang bukan sahaja cergas fizikal dan cerdas mindanya, malah santun pekertinya.

     Terkini, konsep “Hanya di Perwira” digagaskan sebagai strategi penjenamaan agar KK Perwira berupaya membawa jenama cemerlang UTHM di seantero dunia. Dengan misi membantu Universiti meningkatkan kebolehpasaran graduan, KK Perwira menyahut cabaran menjadikan tahun 2014 sebagai titik permulaan bagi KK Perwira sebagai pusat pembelajaran kedua.



Misi

KK Perwira komited untuk menyemai budaya ilmu ke arah pembangunan mahasiswa holistik

Visi

Menuju ke arah pusat pembelajaran kedua untuk pembangunan lestari

Fungsi dan Peranan

  • Menyediakan kemudahan penginapan dan sokongan berkaitan kepada pelajar
  • Membantu pembentukan kemahiran insaniah (KI) pelajar melalui aktiviti-aktiviti pelajar di Kolej Kediaman


Pelan


Muat turun Pelan Perwira di sini


"Perwira di Hatiku, Sebuah Taman Ilmu"